‘Kita warisi masalah air, tapi tetap bertanggungjawab’ – Hajiji

TAWAU: Kerajaan Sabah tidak menjadikan masalah bekalan air yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu sebagai alasan untuk berpeluk tubuh, sebaliknya terus mengambil tanggungjawab menyelesaikannya demi kepentingan rakyat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri komited menyediakan peruntukan dan melaksanakan projek berkaitan bagi memastikan masalah bekalan air yang membelenggu rakyat dapat ditangani.

“Kita warisi masalah ini. Bukan masalah ini datang waktu kerajaan yang ada pada hari ini. Kita warisi.

“Tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita lakukan yang terbaik. Kita beri peruntukan untuk menyelesaikan dan memberi kemudahan kepada rakyat kita di Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau perkembangan Projek Empangan dan Loji Rawatan Air Cinta Mata, di sini, hari ini.

Empangan Cinta Mata dijangka siap sebelum penghujung 2027.

Menurut Hajiji, masalah bekalan air bukan hanya berlaku di Tawau, sebaliknya turut dihadapi kebanyakan daerah lain di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh infrastruktur air bagi memastikan bekalan kepada rakyat dapat ditambah baik.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kemajuan pembinaan Empangan Cinta Mata berada pada tahap baik dan mengikut jadual berdasarkan taklimat diterimanya.

Beliau berkata, empangan berkenaan dijangka siap sebelum penghujung 2027 dan diharap dapat membantu menangani masalah bekalan air di Tawau.

“Daripada taklimat yang saya dengar, nampak progres itu baik mengikut jadual walaupun ada permohonan untuk lanjutan.

“Yang penting, empangan ini dijangka siap sebelum hujung tahun 2027. Jadi ini satu perkembangan yang cukup baik dan dapatlah kita selesaikan masalah air kita di Tawau,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan tambahan peruntukan, Hajiji berkata perkara itu akan diteliti berdasarkan laporan Jabatan Air dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Kita tengok nanti laporan dia macam mana. Kalau perlu, kita tengok laporan daripada Jabatan Air ataupun Jabatan Parit dan Saliran macam mana,” katanya.

Hajiji turut menyatakan kepuasan terhadap perkembangan projek selepas dimaklumkan prestasi kontraktor berada pada tahap baik dan mengikut jadual.

“Saya tanya tadi macam mana prestasi kontraktor mengikut konsultan dan pegawai air. Baik, jadi kita teruskan.

“Insya-Allah, kita buat pemantauan yang terbaik,” katanya.