PUTRAJAYA: Semua kementerian dan agensi berkaitan diarahkan supaya mempercepatkan penyelesaian baki isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan pelaksanaannya dapat disegerakan sebelum Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dijadual berlangsung September ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, arahan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan ICU, Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut meneliti status terkini pelaksanaan dan kemajuan penyelesaian pelbagai perkara di bawah MA63 sebagai persediaan menghadapi mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri pada September depan.
“Semua kementerian dan agensi berkaitan diarahkan memberi keutamaan terhadap penyelesaian baki isu MA63 supaya pelaksanaannya dapat dipercepatkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mustapha berkata, beliau diberi mandat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi pihak beliau yang sedang menerima rawatan kesihatan.
Menurutnya, selain meneliti perkembangan pelaksanaan perkara yang dipersetujui di bawah MA63, mesyuarat turut membincangkan beberapa agenda strategik yang sedang diperkemas melalui platform MTPMA63.
Katanya, antara agenda berkenaan ialah pelaksanaan inisiatif borneonisasi perkhidmatan awam, usaha menutup jurang perkhidmatan kesihatan serta pemerkasaan sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pendekatan rundingan berterusan menerusi jawatankuasa kerja dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 terbukti berjaya menghasilkan pelbagai kemajuan secara konsensus berasaskan kepercayaan dan saling menghormati antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, antara perkembangan penting yang direkodkan ialah peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2026.
Katanya, satu lagi pencapaian signifikan ialah penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak pada 21 Julai lalu.
“Kedua-dua pencapaian ini membuktikan pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan Madani bukan sekadar memenuhi komitmen terdahulu, malah terus berkembang secara dinamik mengikut keperluan semasa serta aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.