Lelaki cedera tersepit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Tuaran Bypass

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 38 tahun cedera selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Stesen Minyak Petron, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.36 pagi itu, mangsa yang memandu sebuah Perodua Myvi tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas kenderaannya terlibat dalam kemalangan bersama sebuah Isuzu D-Max dan Toyota Innova.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 4.36 pagi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.44 pagi dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat (Rescue Tools).

“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang berada di dalam dua lagi kenderaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi ditamatkan pada jam 5.08 pagi selepas keadaan disahkan selamat serta tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” tambahnya.