TAWAU: Seorang pemandu jentera angkut terlepas hukuman mati apabila dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah membunuh rakan sekerjanya di Kunak, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, menjatuhkan hukuman itu terhadap Roger Pasague Cullano, 54, warga Filipina, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Jun 2025, selain memerintahkan dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Mahkamah turut tidak mengenakan hukuman sebatan terhadap tertuduh mengambil kira faktor usianya.
Mengikut fakta kes, tertuduh membunuh Abigail Diego Mandi, 32, yang juga warga Filipina, di kawasan semak Ladang Ample Land Tingkayu, Kunak, antara jam 9.30 pagi hingga 10.15 pagi pada 13 Jun 2025.
Mangsa yang bekerja sebagai pekerja ladang ditemui anak lelakinya dalam keadaan tertiarap di bawah timbunan pelepah kelapa sawit dan semak samun selepas kira-kira 20 minit pencarian.
Sebelum itu, anak mangsa menghubungi ibunya pada kira-kira jam 9.26 pagi untuk memintanya mengutip buah kelapa sawit di tempat berkenaan.
Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi pada kira-kira jam 10 pagi, dia tidak menemui ibunya sebaliknya terserempak dengan tertuduh yang berada berhampiran kawasan itu dalam keadaan badan berlumpur, mempunyai kesan darah pada pipi serta memegang sebilah parang panjang.
Apabila ditanya mengenai keberadaan ibunya, tertuduh menunjukkan ke arah lain sebelum anak mangsa beredar dan mendapatkan bantuan orang awam untuk mencari mangsa.
Ketika ditemui, pakaian mangsa dalam keadaan terbuka selain terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian kepala dan muka.
Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 15 Jun 2025 oleh pakar patologi forensik, Dr Dzureena Abdul Mhufalib, mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan tetakan pada bahagian dada, kepala, wajah dan kedua-dua tangan, selain kecederaan tikaman serta lebam pada tubuhnya.
Pakar mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat luka tikaman yang mencederakan pembuluh darah utama aorta toraks.
Tertuduh ditangkap di kawasan Ladang Briian Tingkayu, Kunak, pada 14 Jun 2025 sebelum mengaku membunuh mangsa.
Sebilah parang dan pakaian yang dipakai tertuduh ketika kejadian turut dirampas di lokasi berasingan hasil maklumat serta pandu arah tertuduh sendiri.
Ketika rayuan mitigasi, peguam bela, Kamarudin Mohmad Chinki, memohon hukuman penjara minimum 30 tahun dengan mengambil kira pengakuan bersalah, penyesalan tertuduh, latar belakang keluarga serta peluang untuk menjalani pemulihan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fellanny Siji, bagaimanapun berhujah hukuman berat wajar dikenakan memandangkan perbuatan tertuduh menyebabkan kehilangan nyawa seorang ibu selain trauma terhadap anak mangsa yang menemui mayat ibunya.
Pendakwaan memohon hukuman penjara antara 30 hingga 35 tahun dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh pada peringkat awal prosiding.