PAPAR: Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika keluar menjala ikan di Sungai Benoni, di sini, semalam.
Mangsa berusia 61 tahun itu ditemui orang awam pada jam 9.59 malam berhampiran lokasi motosikalnya ditinggalkan, selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PKPgB Rony Sikawan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 7.09 malam sebelum anggota dikejarkan ke lokasi.
“Hasil pencarian awal hanya menemui motosikal serta selipar milik mangsa di lokasi kejadian sebelum operasi mencari dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat adik mangsa, lelaki itu keluar menjala ikan kira-kira jam enam pagi dan kebiasaannya pulang sekitar jam satu tengah hari.
Bagaimanapun, mangsa gagal pulang sehingga lewat petang, menyebabkan ahli keluarga bersama penduduk kampung bertindak mencarinya di kawasan sungai.
Mangsa kemudian berjaya ditemui oleh orang awam pada jam 9.59 malam berhampiran lokasi motosikalnya.
“Pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Operasi ditamatkan pada jam 10.13 malam selepas keadaan disahkan selamat.