KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh agenda memperkasa penggunaan serta pembelian produk tempatan menerusi kerjasama strategik dengan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 sebagai sebahagian daripada pelaksanaan gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu merupakan strategi transformasi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang bertujuan menggalakkan rakyat mengutamakan produk tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan daya saing industri dan usahawan Malaysia di pasaran domestik serta antarabangsa.
“Melalui JOM MALAYSIA, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama bersama pemain industri, sektor swasta dan rakan strategik bagi memastikan produk Malaysia lebih mampan serta berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, KLFW 2026 yang berlangsung di Esplanade KLCC bermula 3 hingga 9 Ogos menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan dengan lebih 800 rekaan kreatif, sekali gus menjadi platform terbaik mengetengahkan keunikan produk Malaysia kepada pasaran yang lebih luas.
Katanya, menerusi kerjasama strategik itu, sebanyak 28 segmen diperkenalkan termasuk Fashion Forward Batik Malaysia, iaitu segmen baharu yang menampilkan 30 rekaan batik kontemporari hasil karya 10 pereka fesyen tempatan menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, segmen berkenaan bukan sahaja memperkukuh penjenamaan batik Malaysia, malah membuka ruang lebih luas kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Armizan berkata, industri budaya dan kreatif kini muncul sebagai antara penyumbang penting kepada ekonomi negara apabila Laporan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 merekodkan sumbangan sebanyak RM130.7 bilion, bersamaan 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Pencapaian ini membuktikan bahawa kreativiti dan warisan budaya bukan sekadar mencerminkan identiti negara, malah menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang signifikan,” jelasnya.

Beliau berkata, kejayaan KLFW 2025 yang merekodkan nilai publisiti mencecah USD32 juta turut memberi keyakinan bahawa kerjasama strategik itu mampu memperluaskan capaian pasaran produk tempatan, khususnya batik Malaysia, di peringkat domestik dan global.
Menurutnya, inisiatif berkenaan selaras dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu bagi memperkukuh promosi, meningkatkan jualan domestik dan eksport produk tempatan.
Beliau turut mengajak semua pihak termasuk pemain industri, sektor swasta dan agensi kerajaan untuk terus bekerjasama serta mengemukakan cadangan bagi memastikan agenda memperkasa produk tempatan dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu dan berkesan.