Remaja perempuan maut ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Badak

TUARAN: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut selepas dipercayai hilang ketika bermandi-manda di Pantai Tanjung Badak, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.59 petang itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan dua remaja perempuan dikhuatiri hilang di laut ketika berkelah dan mandi-manda di pantai berkenaan.

Katanya, seorang daripada mangsa berjaya ditemui orang awam sebelum diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.

“Mangsa pertama yang berjaya diselamatkan diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan bomba, pada Sabtu petang.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa kedua kemudian dijalankan menggunakan kaedah Water Surface Searching di sekitar kawasan mangsa terakhir dilihat.

“Mangsa kedua berjaya ditemui pada jam 5.08 petang sebelum dibawa ke kawasan selamat dan diberikan rawatan awal termasuk CPR oleh pasukan penyelamat.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.07 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.