KOLUMNIS | Sabah perlukan dana besar, kestabilan politik untuk pacu pembangunan

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan dana yang besar serta kestabilan politik yang berterusan bagi mempercepatkan pembangunan negeri dan menyelesaikan pelbagai masalah asas yang diwarisi sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, pembangunan tidak boleh dilihat sekadar bergantung kepada kemahuan politik, sebaliknya memerlukan kedudukan kewangan yang kukuh, dasar yang konsisten serta keyakinan pelabur.

Katanya, rakyat mahu melihat bekalan air mencukupi, elektrik lebih stabil, jalan raya yang baik, peluang pekerjaan yang lebih luas serta ekonomi yang berkembang, namun semua itu memerlukan peruntukan yang besar.

“Masalah asas yang dihadapi Sabah hari ini bukan berlaku dalam tempoh setahun dua, sebaliknya terkumpul selama berpuluh-puluh tahun sehingga menjadi cabaran yang kompleks untuk diselesaikan.

“Menukar ribuan kilometer paip air usang, membina empangan, loji rawatan air, menaik taraf sistem bekalan elektrik, jalan raya, jambatan dan infrastruktur luar bandar memerlukan kos yang amat besar serta perancangan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrul berkata, pengalaman lalu menunjukkan pertukaran kerajaan dan kepimpinan menyebabkan beberapa projek pembangunan strategik tertangguh, dikaji semula atau tidak diteruskan sehingga memberi kesan kepada rakyat.

Menurutnya, Sabah tidak boleh lagi mengulangi kesilapan sama kerana kestabilan pentadbiran penting untuk memastikan momentum pembangunan terus berjalan.

Beliau berkata, kejayaan Sarawak membangunkan negeri itu membuktikan bahawa kestabilan politik, dasar yang konsisten dan hasil negeri yang tinggi mampu mempercepatkan pembangunan.

“Hari ini Sarawak mempunyai hasil negeri sekitar RM14 bilion setahun, sekali gus membolehkannya membiayai pelbagai projek pembangunan menggunakan dana sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil negeri Sabah turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila meningkat daripada sekitar RM3 bilion hingga RM4 bilion kepada hampir RM7 bilion setahun.

Katanya, peningkatan itu dicapai menerusi pelbagai usaha termasuk memperjuangkan hak Sabah dalam industri minyak dan gas melalui Commercial Collaboration Agreement (CCA), memperluaskan sumber hasil daripada sektor strategik seperti minyak sawit dan Ekonomi Biru, selain meningkatkan kutipan hasil negeri.

Beliau berkata, Sabah juga berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai kira-kira RM70 bilion, termasuk daripada syarikat antarabangsa, yang dijangka mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Setiap ringgit hasil tambahan akan kembali kepada rakyat dalam bentuk pembangunan seperti penggantian paip air, pembinaan empangan, jalan raya, jambatan, sekolah, hospital dan pelbagai kemudahan awam.

“Hasil negeri bukan sekadar angka, tetapi kemampuan sebenar kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat dan membina masa depan Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Azrul berkata, kerajaan menyasarkan hasil negeri terus meningkat sehingga RM10 bilion dan lebih tinggi pada masa depan bagi memperkukuh keupayaan kewangan negeri.

Beliau menegaskan, kestabilan politik kekal menjadi faktor utama kerana ia meningkatkan keyakinan pelabur, merancakkan ekonomi, menambah hasil negeri dan akhirnya membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

“Sabah tidak akan berubah dalam sehari, namun dengan asas kewangan yang semakin kukuh, dasar yang konsisten dan kestabilan politik, negeri ini berada pada landasan yang tepat untuk muncul sebagai sebuah negeri yang lebih maju, makmur dan berdaya saing,” katanya.