Arthur, Abraam raih perak, Sabah tambah dua pingat dari gelanggang tinju

SHAH ALAM: Dua petinju Sabah, Arthur Ayyavu Annaraj dan Abraam Doozaeil RyCarl Kuinon, masing-masing meraih pingat perak selepas menamatkan saingan di pentas final acara tinju SUKMA XXII Selangor 2026, hari ini.

Arthur terlebih dahulu membawa cabaran Sabah pada final Feather Lelaki -57 kilogram (kg) menentang wakil Johor dalam pertarungan sengit yang akhirnya ditentukan menerusi keputusan juri.

Arthur memberikan tentangan sehingga tamat, namun keputusan 2-3 memihak kepada wakil Johor, sekali gus menyaksikan petinju Sabah itu terpaksa berpuas hati dengan meraih pingat perak.

Sementara itu, Abraam pula turun dalam final Light Welter Lelaki -63.5kg menentang wakil Perak.

Bagaimanapun, Abraam gagal menundukkan lawannya selepas keputusan penuh juri 5-0 memihak kepada petinju Perak dan turut membawa pulang pingat perak.

Arthur dan Abraam sebelum ini perlu melepasi beberapa pusingan serta menewaskan lawan masing-masing bagi memastikan tiket ke pentas final sebelum turun memburu emas hari ini.

Walaupun gagal menamatkan saingan dengan emas, kejayaan kedua-duanya mara ke final tetap menyumbang dua pingat penting kepada Kontinjen Sabah dalam saingan SUKMA kali ini.

Perjuangan Arthur dibimbing jurulatih Rozaimy Ahad dan Farlez, manakala Abraam turut mendapat bimbingan Nazree Salim bersama Rozaimy dan Farlez.

Pasukan tinju Sabah dikendalikan pengurus pasukan Jeffery Ismail bersama barisan kejurulatihan yang terus memberikan sokongan kepada atlet sepanjang temasya.

Saingan tinju SUKMA XXII Selangor 2026 masih berbaki dan peluang untuk Sabah menambah koleksi pingat daripada gelanggang tinju masih terbuka.