Dua individu didakwa edar 2kg syabu di Kalabakan

TAWAU: Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 2,047.83 gram dadah jenis methamphetamine di Jalan Kalabakan-Nabawan, 14 Ogos lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Azlan Manap, 39, dan rakannya, Kasmawati Saripudin, 33, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan niat bersama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 2,047.83 gram, di Road Check Point (RCP) Kalabakan, Jalan Kalabakan-Nabawan, kira-kira jam 9.30 pagi pada 14 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, yang memohon satu tarikh baharu bagi sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia.

Pendakwaan juga tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan laporan tangkapan, kedua-dua tertuduh yang menaiki sebuah kereta Proton Saga ditahan kira-kira jam 9.30 pagi pada 14 Ogos lalu ketika melalui RCP Kalabakan di Jalan Kalabakan-Nabawan selepas kenderaan terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Azlan, yang berasal dari Kampung Tinagat, yang memandu kenderaan itu bersama Kasmawati yang juga rakannya, dan mereka dikatakan dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Nabawan.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu kemudian menemukan dua bungkusan mengandungi plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

Kedua-dua bungkusan itu ditemukan masing-masing di bawah kerusi penumpang hadapan dan kerusi penumpang belakang sebelah kiri kenderaan berkenaan.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah tiga telefon bimbit iaitu Samsung Galaxy, iPhone 16 Pro Max dan Vivo Y05.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.