Sindiket jual tanah: Empat termasuk bekas pegawai adat direman

KENINGAU: Empat individu termasuk seorang bekas pegawai adat direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM900,000 sebagai balasan membantu melancarkan urusan jual beli tanah di Sabah.

Turut direman ialah dua broker tanah dan seorang penjawat awam, yang kesemuanya lelaki berusia antara 30 hingga 60-an.

Perintah reman sehingga 27 Ogos ini dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry di Mahkamah Majistret Keningau, hari ini, selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, kesemua suspek ditahan antara jam 4 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Keningau.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada 2025.

“Bekas pegawai adat dan penjawat awam itu dipercayai menerima rasuah daripada dua broker tanah sebagai balasan membantu melancarkan urusan jual beli tanah yang dikendalikan kedua-dua broker terbabit,” katanya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati tanah yang terbabit dalam urusan berkenaan adalah milik individu lain dan tidak pernah ditawarkan untuk dijual.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM 2009.