KOTA KINABALU : Kerajaan menyumbang sebanyak RM100 Ribu bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih dewan dan meluaskan ruang tempat parkir di Kampung Warisan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, kerajaan akan melaksanakan dua projek tersebut melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“Sebanyak RM50 ribu diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih dewan manakala RM50 ribu lagi untuk kerja-kerja meluaskan ruang tempat parkir akan dilaksanakan di Kampung ini.
“Projek tersebut dibuat untuk memberikan keselesaan kepada penduduk kampung menggunakan dewan dalam keadaan yang kondusif pada masa akan datang.
“Kita meluaskan ruang parkir yang bertar juga di kawasan dewan ini dan akan diusul oleh Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), akan diurus oleh pihak ICU JPM dan Parlimen akan pastikan supaya ianya akan dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Darau @Sepanggar 2026, di Padang Kampung Warisan di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mustapha turut memuji penganjuran program berkenaan kerana pengunjung yang datang ditawarkan dengan pelbagai perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri sekaligus membantu masyarakat mendapat maklumat terkini berkenaan inisiatif kerajaan.
“Pengunjung yang datang diberikan khidmat nasihat terutama berkaitan insentif-insentif kerajaan MADANI dan kerajaan Negeri Sabah selain masyarakat sekitar akan mendapat maklumat yang tepat dan sahih daripada saluran rasmi kerajaan.
“Dalam masa sama, program ini kita gunakan untuk memberikan insentif One-off daripada Parlimen Sepanggar untuk bakal-bakal mahasiswa Universiti, Institusi Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) dan Matrikulasi yang akan mendaftar tidak lama lagi sekaligus menguntungkan rakyat dan masyarakat di Sepanggar ini,” ujarnya.
Dalam program tersebut, sebanyak 29 agensi kerajaan mengambil bahagian dalam menyampaikan perkhidmatan terus kepada masyarakat selain diisi dengan pelbagai pengisian menarik sepanjang program antaranya cabutan nombor bertuah, servis motor percuma, gunting rambut percuma, pertandingan mewarna, E-Sport, Tarik tali dan Gusti lengan.
Selain itu, pengisian pocket talk seperti Kempen Keselamatan Jalan Raya dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bahaya Penyalahgunaan Dadah dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Santai Patriotik dari Jabatan Penerangan Sabah, Celik Digital MADANI: MyDigitalD Bersama Rakyat, Interaktif Kenegaraan dari Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Bahaya Media Sosial dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta Kemahiran Menyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Malaysia, Datuk Abdul Halim Hamzah; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hishamuddin Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Suwadi Guliling dan Pengerusi JKKK Kampung Warisan, Jaffar Mohd.