PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memperluas kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Persaingan Hong Kong (HKCC).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperluas jaringan strategik dengan pihak berkuasa persaingan antarabangsa bagi memelihara dan menggalakkan persaingan yang sihat serta adil.
Katanya, MoU berkenaan merupakan kerjasama antarabangsa keempat yang dimeterai MyCC dengan badan persaingan luar negara selepas Turkiye Competition Authority (TCA), Korea Fair Trade Commission (KFTC) dan Philippine Competition Commission (PCC).
“Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan saling berhubung, isu persaingan turut melibatkan aktiviti perniagaan dan entiti yang merentasi sempadan.
“Kerjasama antara pihak berkuasa persaingan pelbagai negara amat penting bagi membolehkan perkembangan pasaran serta cabaran penguatkuasaan ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis pemeteraian turut disaksikan Pengerusi MyCC, Tan Sri Dato’ Sri Idrus Harun; Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi, Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Republik Rakyat China, Algernon Yau serta wakil Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur.
Melalui MoU itu, MyCC dan HKCC akan bekerjasama dalam pertukaran maklumat berkaitan perkembangan penting undang-undang persaingan termasuk pindaan perundangan, perkongsian pengalaman siasatan serta jalinan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain.
“Kerjasama itu turut merangkumi aspek teknikal bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan menerusi program latihan, bengkel, penempatan sementara pegawai dan kolaborasi penyelidikan.
“Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama membincangkan serta menangani isu persaingan rentas sempadan dan penguatkuasaan undang-undang persaingan secara dua hala atau bersama pihak berkuasa persaingan antarabangsa,” jelasnya.
Kata beliau, MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Haji Iskandar Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif HKCC, Rasul Butt.
Tambah beliau, KPDN menerusi MyCC akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa persaingan di peringkat serantau dan antarabangsa secara berterusan.
Katanya, usaha itu penting bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, memperkukuh kapasiti institusi serta memastikan ekosistem persaingan negara kekal dinamik dan berdaya saing demi kepentingan pengguna serta ekonomi negara.