Wanita 22 tahun hilang selepas keluar cari kerja

KOTA KINABALU: Kes kehilangan wanita dilaporkan berlaku lagi di negeri ini apabila seorang wanita berusia 22 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, Jumaat lalu.

Kehilangan Nurul Ain Norsalih itu dilaporkan kepada polis selepas dia keluar dari rumah kira-kira jam 1 petang dengan alasan untuk mencari pekerjaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, wanita terbabit masih belum pulang ke rumah sehingga kini dan usaha menghubunginya juga tidak berhasil.

“Usaha menghubungi penama melalui telefon serta bertanya kepada saudara-mara dan rakan-rakannya tidak berhasil.

“Polis turut menjalankan usaha pencarian di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu termasuk kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran, namun masih belum menemui wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika kali terakhir dilihat, Nurul Ain memakai seluar panjang hitam, baju kelabu, beg sandang coklat dan kasut putih.

Shahrudin berkata, polis kini meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan wanita terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan penama diminta menghubungi Balai Polis Pulau Gaya atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Semalam, media turut melaporkan polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, Asnorawati Abdul San yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini.

Dalam kes berkenaan, Asnorawati dilaporkan keluar dari rumah pada 8 Ogos lalu kira-kira jam 4 petang dan sehingga kini masih belum ditemui.

Siri kejadian kehilangan wanita dan remaja perempuan yang dilaporkan kebelakangan ini turut mencetuskan kebimbangan, khususnya dalam kalangan keluarga yang mempunyai anak perempuan atau ahli keluarga yang sering keluar bersendirian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nurul Ain diminta segera menyalurkannya kepada polis bagi membantu usaha pencarian.