UMS, KAGSB perkasa tanaman Paulownia menerusi teknologi kultur tisu

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) menjalinkan kerjasama strategik dengan Koperasi Arus Gemilang Sabah Berhad (KAGSB) dalam pembangunan tanaman Paulownia di Sabah.

Profesor Madya Ts. Dr. Wilson Yong Thau Lym dari IPB berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada penghasilan anak benih Paulownia berkualiti tinggi menggunakan teknologi kultur tisu tumbuhan.

“Teknologi berkenaan membolehkan pembiakan tumbuhan secara terkawal bagi menghasilkan bahan tanaman dalam kuantiti lebih besar, seragam dan berkualiti dalam tempoh lebih singkat berbanding kaedah pembiakan konvensional.

“Aplikasi teknologi itu dilihat berpotensi menyokong keperluan pembangunan ladang Paulownia yang memerlukan bekalan anak benih berkualiti secara konsisten dan berskala besar,” katanya.

Menurut Wilson, projek berkenaan bukan sekadar memberi tumpuan kepada penghasilan anak benih, sebaliknya menjadi langkah penting menghubungkan hasil penyelidikan universiti dengan keperluan industri dan aplikasi sebenar di lapangan.

“Matlamat kami adalah untuk membangunkan sistem pembiakan berasaskan bioteknologi yang boleh dipercayai bagi menyokong penanaman Paulownia serta membuka ruang kepada pembangunan produk dan aplikasi di lapangan.

“Kerjasama dengan KAGSB menjadi penghubung penting antara keupayaan penyelidikan UMS dengan keperluan sebenar di lapangan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah IPB, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau berkata, inisiatif berkenaan memperlihatkan keupayaan institut itu memanfaatkan kepakaran, kemudahan penyelidikan dan modal insan dalam bidang bioteknologi tumbuhan bagi menyokong pembangunan pertanian serta ekonomi masyarakat.

“IPB mempunyai kepakaran, kemudahan dan modal insan dalam membangunkan serta mengaplikasikan teknologi kultur tisu tumbuhan bagi penghasilan bahan tanaman berkualiti.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen IPB untuk memastikan hasil penyelidikan dan inovasi bioteknologi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi KAGSB, Eddy Berhan berkata, Paulownia berpotensi dibangunkan sebagai sebahagian daripada rantaian nilai agroperhutanan yang lebih luas merangkumi pembangunan ladang dan produk hiliran.

Katanya, pembangunan tanaman itu berpotensi membuka peluang ekonomi baharu sekiranya disokong teknologi, bimbingan teknikal serta penggunaan tanah yang bersesuaian.

“Kami melihat Paulownia bukan sekadar sebagai tanaman ladang, tetapi sebagai satu peluang untuk membangunkan rantaian nilai baharu yang boleh memberi manfaat ekonomi kepada pemilik tanah dan komuniti setempat.

“Dengan sokongan teknikal yang bersesuaian, kami menggalakkan pemilik tanah serta komuniti yang mempunyai tanah yang sesuai untuk meneroka potensi tanaman ini dan bersama-sama menyokong pembangunan industri Paulownia yang mampan,” ujarnya.

Kerjasama UMS dan KAGSB itu dijangka memperkukuh hubungan antara penyelidikan bioteknologi, pembangunan perladangan dan pemerkasaan ekonomi komuniti.