TAWAU : Seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai lemas ketika mandi-manda bersama enam rakannya di Sungai Tagal, Kampung Kijang, Merotai di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa bersama 12 rakannya pergi ke sungai berkenaan untuk mandi-manda.
“Ketika kejadian, mangsa bersama enam rakannya sedang mandi-manda di kawasan sungai, manakala rakan-rakan lain berada di kawasan berhampiran untuk menyediakan makanan.
“Bagaimanapun, arus sungai tiba-tiba menjadi deras menyebabkan enam rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri ke tebing, manakala mangsa gagal berbuat demikian sebelum tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata rakan-rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan daripada penjaga Sungai Tagal yang bertindak terjun dan menyelam ke dalam sungai bagi mencari mangsa.
“Mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dan rawatan dilakukan, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Menurut Wilynton, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan bedah siasat.
Katanya, hasil pemerhatian dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada tanda berunsur jenayah atau kesan mencurigakan pada tubuh mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut dijalankan bagi melengkapkan dokumentasi serta tindakan selanjutnya,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan sungai dan tidak mengambil risiko sekiranya mendapati keadaan arus deras atau berubah secara tiba-tiba.