TUARAN: Seorang lelaki cedera di kaki selepas lori ais yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Berungis, di hadapan YKL Borong Runcit, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.55 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas terperangkap akibat kemalangan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 2.55 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan sebuah lori ais batu yang bertembung.
“Terdapat seorang mangsa lelaki iaitu pemandu lori ais batu mengalami kecederaan di kaki dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuaran.
“Operasi melibatkan sembilan anggota BBP Tuaran, masing-masing enam anggota Fire and Rescue Tender (FRT) dan tiga anggota Emergency Medical Rescue Services (EMRS), selain bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota KKM,” jelasnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.25 pagi selepas anggota memastikan keadaan di lokasi selamat.