TAWAU: Tiga rumah jenis tidak kekal musnah 100 peratus dalam kebakaran di Kampung Titingan di sini pada awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 5.03 pagi.
Menurutnya, seramai 18 anggota BBP Tawau bersama 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Titingan dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 5.09 pagi, kira-kira enam minit selepas panggilan diterima.
“Komander Operasi, PBK I Zougrana Konin melaporkan kebakaran membabitkan tiga rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jemishin berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan enam pancutan.
Katanya, sumber air diperoleh daripada jentera FRT dan lori tangki air, manakala PBS Kampung Titingan turut membantu dengan membentangkan satu aliran sepanjang 200 kaki dan satu pancutan.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian setakat ini.
“Operasi mengawal dan memadam kebakaran masih giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.