KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup mendesak Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said supaya memohon maaf secara terbuka berhubung ucapan yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati dan kitab Bible (Alkitab).
Arthur berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat tanpa sebarang alasan atau berselindung, khususnya kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Kristian yang tersinggung dan terluka dengan ucapan berkenaan.
Beliau menyifatkan ucapan Noorazli ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026 itu sebagai tidak wajar dan keterlaluan serta tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.
“Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan orang ramai.
“Alasan bahawa ia sekadar ‘gurauan’ tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menutup kesan dan sensitiviti yang ditimbulkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Arthur, Malaysia dibina atas asas masyarakat berbilang kaum dan agama, justeru semua pihak perlu menghormati sensitiviti keagamaan demi memastikan keharmonian terus terpelihara.
Katanya, pemimpin politik juga perlu memahami bahawa isu 3R membabitkan kaum, agama dan institusi diraja bukan perkara yang boleh disentuh sesuka hati.
“Negara ini mempunyai Perlembagaan dan undang-undang yang perlu dihormati bagi menjaga ketenteraman awam, keharmonian serta hubungan antara masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, BN pula berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama.
“Kita tidak boleh bercakap mengenai perpaduan pada satu ketika, tetapi pada ketika yang lain membiarkan agama orang lain dijadikan bahan jenaka politik.
“Prinsip ini mesti kita pegang secara konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata, perbezaan pandangan politik, kritikan terhadap dasar dan perdebatan secara tegas masih boleh dilakukan, namun tidak seharusnya melangkaui batas dengan menjadikan agama serta kepercayaan orang lain sebagai bahan gurauan.
Beliau turut menyeru semua pemimpin politik tanpa mengira ideologi parti supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan, terutama apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja.
“Rakyat tidak memerlukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukan masyarakat,” katanya.