Sabah perluas penerokaan minyak dan gas ke daratan – Hajiji

KOTA KINABALU: Aktiviti penerokaan minyak dan gas di Sabah bakal diperluas ke kawasan daratan, selain terus diterokai di kawasan luar pesisir, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata, langkah itu mencerminkan potensi besar yang dimiliki Sabah untuk membangunkan industri minyak dan gas pada masa akan datang.

“Daripada apa yang saya dapat taklimat, nampak kita mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri minyak dan gas di Sabah di masa akan datang.

“Sekarang mereka sedang menjalankan kajian di sebelah pantai timur dan ada juga telaga minyak dan gas yang telah mereka peroleh di sana, iaitu ‘Mutiara Cluster’ dan ada lagi yang lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan Strategi Gas Sabah di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun menjelaskan bahawa penerokaan minyak dan gas di kawasan daratan bukan kurang, sebaliknya ia dilaksanakan lebih lewat berbanding aktiviti penerokaan di kawasan pantai barat Sabah.