Lelaki Indonesia terlepas hukuman mati, dipenjara seumur hidup dan 12 sebatan

TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia yang berdepan hukuman mati kerana mengedar 178.7 gram methamphetamine terlepas daripada hukuman itu apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman terhadap Rudi Jalil, 41, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Rudi yang bekerja sebagai petani di Sulawesi Selatan, Indonesia, didakwa mengedar 178.7 gram methamphetamine di ruang menunggu Terminal Feri Tawau pada jam 10.10 pagi, 11 Oktober 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Prosiding kes bermula 10 Jun lalu dengan pihak pendakwaan memanggil lima saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan mengemukakan tertuduh sebagai saksi tunggal ketika kes dibicarakan di peringkat pembelaan bermula 11 Ogos lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika hendak menaiki feri dari Terminal Feri Tawau menuju Pelabuhan Nunukan, Indonesia selepas dikesan terdapat bonjolan mencurigakan pada bahagian perutnya.

Pemeriksaan badan mendapati dua paket plastik lutsinar yang dilekatkan pada bahagian perut tertuduh menggunakan pita pelekat hitam.

Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan dua paket plastik lutsinar di dalam seluar dalam berwarna coklat gelap yang dipakainya, selain empat paket plastik lutsinar mengandungi bahan berbentuk kristal di dalam kasut jenama Nike, masing-masing dua paket pada setiap belah kasut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang.