TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun ditahan selepas polis merampas sepucuk pistol semi-automatik jenis Colt .45 bersama tiga butir peluru dan 901.35 gram dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah penginapan di Jalan Dunlop, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menurutnya, pistol dan tiga butir peluru berkenaan ditemukan disimpan dalam plastik hitam dan disembunyikan di dalam sebuah bilik di penginapan terbabit.
“Suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah kenderaan Proton Wira yang diletakkan di kawasan penginapan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sebuah beg silang berwarna hitam yang diletakkan di bawah tempat duduk pemandu.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik berisi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 901.35 gram.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah tersebut adalah miliknya,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek turut mendapati dia positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Dalam perkembangan berkaitan senjata api, Rosdi berkata, suspek mendakwa pistol berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki dari daerah lain dan dipercayai untuk dijual kepada pihak lain di negara jiran.
“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tindakan turut diambil mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Menurutnya, suspek telah diperintahkan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut.
Rosdi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta pemilikan senjata api secara haram.
“Masyarakat turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya.