Pasar Besar Kota Kinabalu bakal dibina di lokasi baharu

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah merancang untuk memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu dari lokasi sedia ada di tengah bandar ke tapak baharu yang lebih sesuai.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, tinjauan awal sudah dilakukan di tapak yang dicadangkan bagi melihat kesesuaiannya untuk pembangunan pasar berkenaan.

Menurutnya, kerajaan masih meneliti beberapa perkara sebelum menentukan lokasi yang paling sesuai untuk pembinaan Pasar Besar Kota Kinabalu yang baharu.

“Kerajaan ada rancangan untuk memindahkan pasar besar ini daripada tengah-tengah bandar Kota Kinabalu.

“Jadi, kita melawat tapak yang dicadangkan ini dan nanti kerajaan akan menimbang dan memutuskan di mana tapak yang sesuai untuk kita membina Pasar Besar Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke lokasi cadangan Pasar Ikan Kota Kinabalu yang baharu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, cadangan berkenaan masih berada pada peringkat awal dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri.

Katanya, kertas kerja berkenaan kemudiannya akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.

“DBKK nanti akan membuat satu kertas kerja dan tentu ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk keputusan.

“Cadangan akan datang daripada DBKK mengenai apa yang akan dibuat di sana. Kita belum tahu lagi kerana ini baru di peringkat awal,” katanya.

Menurut Hajiji, perkara utama ketika ini adalah memastikan tapak yang dipilih benar-benar sesuai untuk menempatkan sebuah pasar yang lebih besar dan baik.

Beliau berkata, konsep pasar baharu itu bukan sekadar pasar awam biasa, sebaliknya turut merangkumi pelbagai aktiviti berkaitan di kawasan sekitarnya.

“Yang penting kita pastikan mana tapak yang sesuai untuk membina pasar yang agak besar, yang agak baik. Bukan pasar umum biasa.

“Pasar yang akan dibina ini merangkumi semua aktiviti dekat dengan pasar tersebut seperti yang kita nampak tadi di tapak. Itulah konsepnya,” katanya.

Hajiji berkata, kos pembinaan pasar berkenaan masih belum ditentukan memandangkan kerajaan masih berada pada peringkat menilai dan menentukan tapak yang sesuai.

Hadir sama, Datuk Zainudin Aman, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Datuk Joniston Bangkuai.