TAWAU : Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM30,000 terhadap seorang mekanik selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang guru agama, April tahun lepas.
Majistret Don Stiwin Malanjum turut memerintahkan lesen memandu Mohd Ridzal Jaibi Abdullah, 40, digantung selama tempoh lima tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan sebelum mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa memandu sebuah pikap Mitsubishi Triton di jalan raya dengan cara yang, setelah mengambil kira segala keadaan termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta keadaan lalu lintas yang dijangka ada atau mungkin berlaku, adalah berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Muhamad Bahauddin, 30.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda.
Perbicaraan kes itu berlangsung dari 4 Mei hingga 11 Ogos lalu dengan pihak pendakwaan memanggil enam saksi, manakala pihak pembelaan mengemukakan empat saksi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh diwakili peguam Raz Aziera Ronald.
Peguam tertuduh kemudian memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi, namun dibantah pihak pendakwaan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan itu dengan jaminan RM5,000 bersama dua penjamin tempatan.
Sementara itu, ibu mangsa, Rusani Lasaleh, 53, ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Tawau berkata beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah dan berharap kejadian yang menimpa allahyarham anaknya itu menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari 29 April tahun lepas, Ustaz Muhamad Bahauddin, yang bertugas sebagai guru agama di Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Kunak, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas Perodua Alza dipandunya dirempuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 53, Jalan Tawau-Kunak.