20 penerbangan terjejas, landasan KKIA masih ditutup

KOTA KINABALU: Sebanyak 20 penerbangan terjejas susulan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) masih ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja penting diselesaikan dengan selamat.

Malaysia Airports dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hujan berterusan menjejaskan kemajuan kerja yang sedang dijalankan, sekali gus menyebabkan penutupan landasan berkenaan diteruskan.

Menurut kenyataan itu, pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan bagi menguruskan kesan operasi serta membantu penumpang yang terjejas akibat gangguan berkenaan.

“Keselamatan kekal menjadi keutamaan tertinggi dan operasi penerbangan hanya akan disambung selepas landasan disahkan selamat untuk digunakan,” katanya.

Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan menyemak status penerbangan terkini secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Malaysia Airports turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul serta menghargai kesabaran dan kefahaman penumpang sepanjang tempoh penutupan sementara landasan berkenaan.