SIPITANG: Seorang lelaki berusia 54 tahun cedera ringan selepas dua kenderaan bertembung dalam kemalangan jalan raya di Kampung Musapol, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, PPgB Desmond Ak Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.28 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai dan tiba pada jam 6.34 pagi.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Aruz dan Toyota SR.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 54 tahun yang sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan awal daripada pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 7.03 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.