KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, yang kembali ke rahmatullah pagi tadi.
Hajiji menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang tokoh yang disegani dan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi jasa, sumbangan serta dedikasinya kepada negara.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar yang pastinya dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Hajiji mendoakan agar Tun Dr. Mahathir dan seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi saat yang amat sukar berikutan pemergian Allahyarhamah.
Beliau berkata segala jasa dan bakti Allahyarhamah pasti akan terus dikenang serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuni segala dosa serta menempatkan Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Al-Fatihah,” tambahnya.