Pemandu Triton maut selepas terbabas langgar pokok

TUARAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandunya terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Tuaran Bypass, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.55 tengah malam tadi.

Menurutnya, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dari BBP Lintas dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira sembilan minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah Mitsubishi Triton yang terbabas sendiri sebelum melanggar sebatang pokok.

“Terdapat seorang mangsa lelaki yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan tersepit di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan menyelamat (Rescue Tools) dan berjaya dikeluarkan pada jam 1.30 pagi.

Katanya, pemeriksaan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.05 pagi selepas pemeriksaan akhir dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.