TAWAU: Isu gangguan bekalan air di Tawau dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet Sabah bagi memastikan tindakan segera dilaksanakan, termasuk mempergiat penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata langkah itu penting bagi membantu memenuhi keperluan harian penduduk sepanjang gangguan bekalan berkenaan.
Beliau berkata, isu itu dibangkitkan pada mesyuarat berkenaan, Rabu lalu, susulan keadaan cuaca kering dan kekurangan hujan berpanjangan yang menjejaskan sumber air mentah untuk dirawat sebelum disalurkan kepada pengguna.
Susulan itu, katanya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau mengambil tindakan lebih proaktif dalam penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki.
“Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, turut memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan Pengarah JANS memantau perkara ini dan segala keupayaan yang ada digerakkan untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Nizam berkata, berdasarkan maklumat terkini Jabatan Air Bahagian Tawau, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara masih terjejas berikutan masalah kualiti air mentah Sungai Tawau.
Katanya, walaupun hujan sudah turun, taburan hujan di kawasan tadahan masih belum mencukupi untuk meningkatkan paras sungai secara ketara.
Sehubungan itu, katanya, pemantauan dan proses rawatan air diteruskan bagi memastikan bekalan yang disalurkan kepada pengguna memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, penghantaran bantuan air menggunakan lori tangki diteruskan mengikut kemampuan operasi semasa, manakala penyelarasan agihan diberi perhatian bagi mengurangkan kesulitan penduduk yang masih terjejas.
Beliau memberi jaminan akan terus berhubung dengan kementerian berkaitan dan JANS bagi menyampaikan keperluan penduduk serta mendapatkan perkembangan terkini mengenai penghantaran bantuan dan status bekalan air di Tawau.