KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah sehingga jam lima petang, hari ini.
Antara kawasan terlibat ialah Pedalaman membabitkan Pensiangan, Tenom, Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu, Membakut, Tambunan dan Keningau; Kudat (Kota Marudu); Tawau; Sandakan meliputi Labuk & Sugut, Paitan dan Telupid serta Pantai Barat.
“Amaran itu turut melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, selain beberapa kawasan di Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan.
METMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” tambahnya.