KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, berkata, perspektif dan kepentingan Bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu diberi penekanan dalam merangka agenda ekonomi Bumiputera negara bagi memastikan dasar serta inisiatif yang dilaksanakan mengambil kira keperluan kedua-dua negeri.
Beliau berkata, kepentingan masyarakat itu perlu difahami dalam konteks persefahaman antara kaum, sejarah pembentukan Malaysia dan jaminan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Perjanjian Malaysia 1963 turut mengandungi jaminan perlindungan kepada pihak yang mengambil bahagian dalam pembentukan Malaysia, manakala Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyentuh kepentingan orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak.
“Setiap kali ada perbincangan tentang masa depan negara, mungkin ada orang bertanya, kenapa harus ada Bumiputera dan bukan Bumiputera?, saya fikir kerana kita perlu kembali kepada asas negara ini ditubuhkan.
“Dalam membangun agenda Bumiputera, sebarang dasar dan inisiatif tidak boleh berorientasikan Bumiputera Semenanjung sahaja. Perspektif, kepentingan, tumpuan dan inisiatif Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti menjadi agenda besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera di sini, hari ini.
Ewon, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera Sabah, berkata tanggungjawab kepimpinan adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang etnik.
“Selaku Menteri, tanggungjawab kita adalah memberi perkhidmatan dan kepimpinan kepada semua rakyat tanpa mengambil latar belakang etnik rakyat tersebut.
“Tetapi kerana kita ada persefahaman, kita ada perjanjian, maka saya konsisten mengatakan negara kita harus mengambil kepentingan Bumiputera sebagai salah satu perincian untuk menjayakan masa depan negara kita yang lebih baik,” katanya.
Katanya lagi, semasa menganggotai kabinet persekutuan beberapa tahun lalu, beliau telah mencadangkan supaya kluster khas diwujudkan bagi membincangkan perspektif serta kepentingan Bumiputera anak negeri Sabah dan Sarawak dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.
“Saya mengatakan kalau dapat diberi pengisian, harus ada satu kluster untuk Sabah dan Sarawak dan pandangan itu diminitkan,” katanya.
Susulan itu, katanya, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 menampilkan kluster Sabah dan Sarawak dengan penglibatan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) sebagai panel.
Beliau berkata memorandum atau resolusi kongres itu kemudiannya dibentangkan dalam Kabinet dan menjadi sebahagian daripada proses yang membawa kepada pembentukan agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Ewon turut menegaskan bahawa perancangan ekonomi Bumiputera perlu mengambil kira data kemiskinan dan profil ekonomi Sabah, khususnya kedudukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, beliau sangat terkesan apabila isu kemiskinan Sabah dibangkitkan dalam persidangan Parlimen dan mesyuarat Kabinet, termasuk kedudukan enam daerah di Sabah dalam kalangan 10 daerah termiskin di Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya Sabah mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam perbincangan dan perancangan agenda ekonomi Bumiputera.
“Kita di Sabah perlu mengambil bahagian secara aktif, lebih serius. Memang kita serius selama ini, tapi saya berpendapat sudah tiba masanya kita melihat keterlibatan kita dengan lebih serius lagi,” katanya.
Ewon berkata pendekatan mengambil kira perspektif, isu dan cabaran Malaysia Timur turut diterapkan menerusi Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara ketika beliau menerajui KUSKOP.
Dalam memimpin Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah pula, beliau berkata dasar kepimpinannya turut memberi tumpuan kepada usaha membuka ruang dan peluang penyertaan syarikat tempatan Sabah.
Ewon berharap dapatan daripada siri berkenaan dapat dirumuskan untuk dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Sabah.
Sesi itu dianjurkan oleh TERAJU dan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah. Sesi di Kota Kinabalu ini merupakan sesi terakhir selepas siri libat urus dilaksanakan di Kota Marudu, Keningau, Sandakan dan Tawau.