Darul Bakti sasar RM100 ribu menerusi pertunjukan amal

KOTA KINABALU: Darul Bakti menyasarkan kutipan dana sebanyak RM100,000 menerusi penganjuran pertunjukan amal di Kuala Lumpur pada April tahun depan.

Pengerusi Yayasan Darul Bakti (Asrama dan Pondok Pendidikan Anak Yatim dan Berkeperluan), Datin Saidatul Mohd Said Keruak berkata, kutipan berkenaan bertujuan menampung perbelanjaan operasi institusi itu.

“Darul Bakti yang berpusat di Kota Belud merupakan sebuah institusi yang membantu kanak-kanak kurang berkemampuan dan anak yatim mendapatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima.

“Sudah 30 tahun kami meneruskan perbelanjaan untuk kanak-kanak ini. Alhamdulillah, ada yang berjaya dan ada juga mencapai kejayaan sederhana.

“Penganjuran pertunjukan amal itu merupakan kali pertama diadakan di Kuala Lumpur selepas sebelum ini dianjurkan di Sabah.

“Antara pengisian program berkenaan ialah penjualan meja, selain mengharapkan sokongan orang ramai khususnya rakyat Sabah yang menetap di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Beliau turut menjelaskan kunjungan hormat itu bertujuan menjemput Tun Musa dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, untuk menghadiri pertunjukan amal berkenaan sebagai tetamu kehormat.

Saidatul berharap pertunjukan amal itu mendapat sokongan pelbagai pihak bagi memastikan kelangsungan usaha Darul Bakti dalam menyediakan pendidikan kepada golongan berkenaan.