SANDAKAN: Tiga individu parah manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Petron Taman Tshun Ngen, Batu 5, di sini, hari ini.
Kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu membabitkan sebuah Toyota Vios, Proton Saga, Isuzu D-Max dan lori Isuzu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.47 pagi menerusi sistem NG999 sebelum menggerakkan tujuh anggota ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, jentera bomba tiba pada jam 11.53 pagi dan mendapati kesemua sembilan mangsa sudah keluar dari kenderaan masing-masing dengan bantuan orang awam.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan, dengan tiga daripadanya dilaporkan parah manakala enam lagi cedera ringan.
“Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menjalankan kerja pembersihan sisa minyak di atas jalan raya bagi mengelakkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sandakan menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Tiga mangsa yang parah membabitkan dua wanita masing-masing berusia 34 dan 61 tahun serta seorang lagi wanita yang identitinya belum dikenal pasti.
“Dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan lapan tahun turut terbabit dalam kemalangan itu dan dilaporkan mengalami trauma,” katanya
Jimmy berkata operasi ditamatkan pada jam 12.27 tengah hari selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.