TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan rotan terhadap seorang guru mengaji selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia antara tujuh hingga lapan tahun.
Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas menerima pengakuan salah tertuduh warga Indonesia berusia 55 tahun itu dan mensabitkannya seperti pertuduhan.
Daripada enam pertuduhan berkenaan, empat membabitkan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) dan satu lagi mengikut Seksyen 15(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, semuanya dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama kerana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tujuh tahun dan dua sebatan rotan, dengan kedua-dua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan tujuh tahun.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dikenakan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan rotan, yang diperintahkan berjalan berasingan daripada hukuman bagi pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh masing-masing dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan rotan, manakala bagi pertuduhan keenam, hukuman penjara dua tahun lapan bulan serta dua sebatan rotan dikenakan.
Ketiga-tiga hukuman bagi pertuduhan keempat hingga keenam diperintahkan berjalan serentak dan berasingan daripada hukuman bagi pertuduhan ketiga.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan mengikut Seksyen 26(1) akta sama serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut fakta kes, kejadian membabitkan ketiga-tiga mangsa berlaku di sebuah rumah di perumahan pekerja kilang Batu 32, Jalan Tawau-Kunak dekat sini.
Ketiga-tiga mangsa didakwa menjadi mangsa perlakuan seksual dalam kejadian berasing pada tahun 2024 dan Ogos 2025 ketika berada di rumah lelaki itu untuk mengikuti kelas mengaji.
Kes berkenaan terbongkar selepas ibu bapa mangsa dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum masing-masing membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Haikal Hazwan Md Yatim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.