KOTA KINABALU: Penjawat awam Persekutuan di Sabah diseru supaya memberikan tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab serta mendukung Rukun Negara sebagai tonggak perkhidmatan.
Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad berkata, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga perlu terus diperkukuh demi memastikan pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Katanya, kedua-dua kerajaan bukan entiti berbeza, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan sinergi yang seimbang bagi membangunkan Sabah sebagai negeri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Fokus utama saya adalah untuk meneruskan legasi dan amanat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar supaya meneruskan jalinan dan hubungan yang harmoni, kekal serta kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Insya-Allah, daripada pertemuan pada pagi ini, saya juga mendapat pesanan dan amanat daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan kami yakin dengan sokongan daripada Tun Musa serta Kerajaan Negeri Sabah, cita-cita tersebut bukanlah mustahil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Kunjungan berkenaan bertujuan memaklumkan kepada Tun Musa mengenai pelantikan Zul Hadi sebagai SUP Sabah yang baharu, berkuat kuasa 16 Oktober lalu, menggantikan Datuk Mohd Razali Wahab yang bersara wajib.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Mohd Hamdani Sahari dan Ketua Penolong Setiausaha, Noraziah Aslan.