Dakwaan petrol RON95 bercampur air: 43 sampel diuji, tiada kandungan air melebihi had pengesanan – Armizan

KUALA LUMPUR: Keputusan analisis awal Jabatan Kimia Malaysia mendapati kesemua 43 sampel petrol RON95 yang diuji menunjukkan kandungan air kurang daripada 0.05 peratus, iaitu di bawah had pengesanan minimum yang boleh dilaporkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu berdasarkan laporan awal Jabatan Kimia bertarikh 29 Oktober lalu susulan aduan pengguna berhubung dakwaan petrol RON95 bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan enjin kenderaan.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima aduan berhubung isu berkenaan sejak 3 Oktober lalu sebelum tindakan pemeriksaan dan pengambilan sampel dilaksanakan di stesen minyak yang terbabit.

Menurutnya, sehingga 31 Oktober lalu, pemeriksaan membabitkan lapan jenama stesen minyak di lapan negeri serta tiga depoh syarikat minyak.

“Sebanyak 262 sampel petrol RON95 diambil, merangkumi 259 sampel di stesen minyak dan tiga sampel di depoh syarikat minyak.

“Kesemua sampel berkenaan dihantar secara berperingkat kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi mengesan kehadiran air dan bahan asing lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan MQT di Dewan Rakyat, Parlimen, hari ini.

Armizan berkata, memandangkan analisis bagi keseluruhan bendasing mengambil masa, keutamaan diberikan kepada pengesanan kandungan air dalam sampel berkenaan.

Katanya, baki sampel masih dalam proses analisis dan laporan penuh akan dikeluarkan selepas semua sampel selesai diuji Jabatan Kimia Malaysia.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata KPDN turut mengadakan sesi libat urus dengan syarikat minyak Petron dan Chevron (Caltex) pada 9 dan 21 Oktober lalu bagi mengenal pasti punca isu pencemaran kualiti bahan api itu.

“Kedua-dua syarikat berkenaan turut menghantar sampel petrol RON95 dari stesen yang menerima aduan ke makmal masing-masing, termasuk makmal di luar negara untuk tujuan pengujian,” katanya

Mengulas mengenai pampasan kepada pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan, Armizan berkata, Petron dan Caltex telah merangka program pemulihan pelanggan menerusi pembayaran secara ihsan (goodwill basis).

Bagaimanapun, katanya, pembayaran itu dibuat tanpa sebarang pengakuan terhadap kesalahan atau liabiliti dan tertakluk kepada kriteria ditetapkan oleh syarikat terbabit.

“Pembayaran akan diberikan kepada pelanggan yang mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah,” katanya.

Beliau menegaskan KPDN memandang serius isu berkenaan dan akan memastikan siasatan terperinci dilaksanakan merangkumi keseluruhan rantaian bekalan bahan api.

Katanya, setiap aduan akan disusuli dengan siasatan segera, manakala tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang kesalahan berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa.