KOTA KINABALU: Pembangunan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) di Gunung Kinabalu dilaksanakan secara minimum dan tidak membabitkan pembinaan berskala besar, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata, pembangunan kemudahan berkenaan sudah dirancang lebih awal dengan mengambil kira cabaran membawa bahan binaan ke kawasan altitud tinggi, yang memerlukan setiap bahan binaan diangkat dalam kuantiti kecil.
Katanya, keadaan itu menyebabkan skala pembinaan di kawasan berkenaan terhad dan tidak membabitkan pembangunan besar seperti yang mungkin dibayangkan orang ramai menerusi gambar serta video yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Pembinaannya adalah minimum, tidak melibatkan banyak pembangunan yang besar di gunung sebab untuk mengangkat barang itu bukan senang.
“Semuanya melibatkan ‘material’ yang boleh diangkat kecil-kecil,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara di sebuah hotel di sini.
Mengulas kebimbangan sama ada pembangunan HATC itu menjejaskan status pengiktirafan UNESCO Gunung Kinabalu, Jafry berkata, kawasan berkenaan baru menerima kelulusan lanjutan pengiktirafan untuk tempoh lima tahun lagi pada 3 haribulan lalu.
“Kita pun baru juga menerima ‘greenlight’ pada tiga bulan lalu yang meluluskan lanjutan pengiktirafan Gunung Kinabalu untuk tempoh lima tahun sebagai salah satu tempat warisan dunia,” tambahnya.