KOTA KINABALU: Penganjuran Sabah Open Pickleball Championship 2026 menjadi platform penting dalam membuka peluang kepada pemain tempatan untuk mengembangkan bakat dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Penganjur, Lamardani jonaeli berkata, kejohanan itu dianjurkan bagi memberi ruang kepada pemain tempatan, khususnya bakat-bakat di Sabah, mendapatkan pendedahan lebih luas menerusi persaingan bersama pemain dari dalam dan luar negara.
“Kehadiran pemain antarabangsa dalam kejohanan sukan pada kali ini membantu mereka mengasah kemahiran, tetapi juga dapat meningkatkan keyakinan untuk bersaing pada tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi sidang media Sabah Open Pickleball Championships 2026 yang berlabgsung di Replya Pickleball Club, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, pihak penganjur berharap kejohanan itu dapat menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan sukan pickleball di Malaysia, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk melangkah ke peringkat antarabangsa.
Kejohanan berkenaan turut menyaksikan penyertaan pemain antarabangsa termasuk dari Vietnam, antaranya Quang Duong, Bao Duong dan Sophia Tran, yang berkongsi pengalaman serta kepakaran mereka bersama komuniti pickleball tempatan.
Antara atlet antarabangsa lain yang turut menyertai sukan ini adalah Roman Estareja dari Amerika Syarikat, Mustofa dan Frisandyo Fauzan (Indonesia), Neem Shamsuddin, Jessica Keng dan Stefan Alex (Malaysia) serta Hoa Nhan Van dan Lieu Chi Thanh juga wakil dari Vietnam.
Kehadiran lapan orang pemain antarabangsa itu turut memberi peluang kepada pemain Sabah untuk melihat sendiri tahap permainan atlet berpengalaman antarabangsa, selain mendapatkan inspirasi menerusi perkongsian teknik dan pengalaman sepanjang sesi klinik serta kejohanan berlangsung.
Dalam pada itu, Lamar berkata, pihaknya berharap kejohanan itu dapat diperluaskan dari segi skala penganjuran pada edisi akan datang, termasuk menambah kategori pertandingan serta menarik lebih ramai penyertaan pemain dari luar negara dan seluruh Malaysia.
Sabah Open Pickleball Championship 2026 kal ini bakal menghimpunkan seramai 538 pemain yang bersaing dalam 11 kategori, dengan menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.