KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah merancang membina Dewan Pengaman bernilai RM480,000 bagi menyediakan kemudahan serbaguna khusus untuk kegunaan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, cadangan pembinaan dewan itu merupakan cetusan idea dan aspirasinya bagi meningkatkan kemudahan serta keselesaan warga pasukan ketika melaksanakan pelbagai program dan majlis rasmi.
Menurutnya, keperluan terhadap kemudahan berkenaan timbul berikutan penganjuran program jabatan sebelum ini sering memerlukan pemasangan khemah, kanopi dan kemudahan sementara yang membabitkan kos, masa serta tenaga kerja.
Katanya, kebergantungan kepada kemudahan sementara turut menyebabkan penganjuran sesuatu program terdedah kepada kekangan cuaca.
“Dewan Pengaman itu dicadangkan berukuran 150 kaki panjang dan 50 kaki lebar dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM480,000.
“Ia juga dicadangkan untuk dibina di kawasan padang kawad IPK Sabah dan bakal menjadi dewan serbaguna pertama milik ibu pejabat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi November 2026 di IPK Sabah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata, dewan berkenaan dicadangkan menggunakan konsep terbuka berbumbung yang praktikal dan serbaguna, selain mengambil kira aspek penjimatan kos pembinaan serta penyelenggaraan.
Menurutnya, reka bentuk itu turut mengutamakan pengudaraan semula jadi, pencahayaan baik dan ruang penggunaan fleksibel bagi membolehkan pelbagai aktiviti jabatan dilaksanakan dengan lebih selesa serta teratur.
“Dengan adanya kemudahan ini, warga pasukan dapat menjalankan pelbagai aktiviti dalam persekitaran lebih selesa kerana terlindung daripada panas dan hujan, sekali gus mengurangkan keperluan menyediakan kemudahan sementara setiap kali program dianjurkan,” katanya.
Beliau menegaskan, Dewan Pengaman bukan dibina untuk kegunaan mana-mana jabatan atau kelompok tertentu sahaja, sebaliknya merupakan kemudahan bersama yang boleh dimanfaatkan seluruh warga PDRM Kontinjen Sabah.
Katanya, pembangunan infrastruktur dan penyediaan kemudahan tempat kerja yang kondusif adalah antara aspek penting dalam menjaga kebajikan warga pasukan.
Jelasnya, kemudahan bersesuaian bukan sahaja memberikan keselesaan, malah berupaya meningkatkan produktiviti, memperkukuh hubungan sesama warga serta mewujudkan suasana kerja lebih harmoni.
Beliau berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut perancangan serta mencapai objektif yang ditetapkan.