TENOM: Pendekatan santai dan kreatif menerusi aktiviti konvoi bermotosikal mampu menjadi platform berkesan untuk mendekati golongan belia serta menyebarkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, khususnya di kawasan luar bandar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang berkata, golongan belia perlu didekati menerusi pendekatan yang bersesuaian dengan minat mereka dan bukan hanya melalui taklimat rasmi.
Menurutnya, penganjuran Program Konvoi SKUAD Antidadah Dua Roda @Tenom sempena penutupan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Negeri Sabah 2026 membuktikan minat dalam aktiviti permotoran boleh disalurkan kepada kegiatan berfaedah yang menyemarakkan tanggungjawab sivik.
“Konvoi ini membuktikan hobi dan minat permotoran boleh disalurkan kepada aktiviti berfaedah yang menyemarakkan tanggungjawab sivik. Melalui platform santai sebegini, interaksi antara agensi penguatkuasaan, sukarelawan dan belia menjadi lebih terbuka dan mesra,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan JABD Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Daerah Kecil Kemabong, di sini, hari ini.
Rubin berkata, agenda pembangunan luar bandar bukan hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, sebaliknya perlu turut mengambil kira kesejahteraan modal insan serta keharmonian sosial masyarakat.
Katanya, kemajuan fizikal yang dibangunkan boleh terjejas sekiranya masyarakat berdepan ancaman penyalahgunaan dadah yang bukan sahaja merosakkan kesihatan individu, malah turut menjejaskan institusi kekeluargaan, keselamatan komuniti dan masa depan generasi muda.
Beliau menegaskan usaha menangani masalah dadah perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan menggabungkan penguatkuasaan undang-undang, pendidikan pencegahan serta penglibatan aktif masyarakat.
Beliau turut berharap gerakan SKUAD Antidadah di kawasan pedalaman terus diperkasakan menerusi kerjasama antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pemimpin masyarakat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ketua-ketua anak negeri dan pertubuhan belia.
Katanya, masyarakat luar bandar perlu diberikan maklumat mengenai saluran mendapatkan bantuan, selain digalakkan melaporkan ancaman dadah di persekitaran masing-masing.
Pada masa sama, Rubin menegaskan pendekatan membanteras dadah perlu diseimbangkan dengan sokongan terhadap individu yang sedang menjalani proses pemulihan.
“Mereka tidak seharusnya dipinggirkan atau dipandang serong, sebaliknya perlu diberikan sokongan moral, bimbingan dan peluang kedua untuk membina kehidupan lebih baik,” tambah beliau.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya meluangkan masa bersama anak-anak, membina komunikasi terbuka serta peka terhadap perubahan tingkah laku mereka bagi mengelakkan pengaruh negatif.