KOTA MARUDU: Kepimpinan Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tandek menegaskan bahawa rekod pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berdiri di atas asas fakta, lonjakan ekonomi, serta hasil kerja nyata yang dirasai terus oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Pengerusi PERKOM merangkap Ketua Penyelaras Gagasan Rakyat Tandek, Datuk Dr. Janathan Kandok, menyelar naratif pembangkang dan pengkritik luar yang melabelkan pentadbiran GRS sebagai “gagal”.
Menurut beliau, tuduhan sedemikian adalah persepsi politik yang sengaja membutakan mata rakyat daripada realiti kemajuan negeri.
“Matematik pembangunan tidak pernah bohong. Untuk nilai prestasi kerajaan GRS mesti berasaskan data sahih, impak sosioekonomi nyata, dan tahap kesejahteraan rakyat — bukan melalui momokan retorik serta penulisan berunsur persepsi menjelang pilihan raya,” tegas Dr. Janathan Kandok.
Beliau menjelaskan bahawa pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digagaskan Kerajaan GRS bukan sekadar dokumen retorik, sebaliknya sebuah kerangka kerja strategik yang terbukti mentransformasikan lanskap ekonomi dan kedaulatan sumber negeri Sabah.
Katanya, “Dakwaan berkenaan isu “penjualan hasil negeri” disanggah sepenuhnya apabila Sabah, menerusi SMJ Energy Sdn Bhd, berjaya mengambil alih pegangan ekuiti strategik dan hak kawal selia utama dalam industri minyak dan gas negara — termasuk pemilikan ekuiti dalam Lapangan Semarang, SAMUR, PFLNG 3, serta Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS.”
“Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun selalu cakap ini,” tambahnya lagi.
Menurut Dr. Janathan, dakwaan berkaitan kebankrapan agensi atau kelemahan fiskal nyata bertentangan dengan rekod kewangan rasmi negeri, di mana kutipan hasil tahunan dan rizab simpanan tunai Sabah melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah.
“Bila hasil tinggi, kerajaan semakin kayalah, jadi Kebajikan untuk Warga Akar Umbi dapat dilakukan secara berterusan,” katanya.
Menurutnya, hasil penambahan kekayaan negeri disalurkan terus kepada rakyat menerusi program impak tinggi seperti pembinaan Rumah Mesra SMJ, bantuan tunai SYUKUR, penajaan modal insan, serta pembangunan prasarana sosioekonomi tempatan seperti di Kota Marudu.
Dr. Janathan yakin bahawa rakyat Sabah — khususnya di kawasan Kota Marudu — kini semakin matang dan bijak menilai antara khidmat bakti berterusan dengan propaganda politik musim pilihan raya.
“Kerajaan GRS kekal fokus memikul amanah, mentadbir dengan berwibawa, dan memastikan setiap titis kekayaan hasil bumi Sabah dipulangkan semula demi mengangkat martabat serta taraf hidup seluruh warga Sabah,” tambah beliau.