Madius minta perkhidmatan bas Pink diperluas ke Tuaran dan Tamparuli

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau meminta Kementerian Pengangkutan memperluas perkhidmatan bas henti-henti BAS.MY (Bas Pink) ke kawasan Tuaran dan Tamparuli bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan jalan raya serta meringankan beban perbelanjaan perjalanan penduduk.

Beliau berkata, perkhidmatan bas yang mempunyai jadual perjalanan tetap amat penting bagi membantu masyarakat, khususnya golongan pekerja, pelajar dan warga emas yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk urusan harian.

Menurutnya, perkhidmatan bas yang tidak menentu menyebabkan keluarga terpaksa mencari alternatif pengangkutan sendiri, sekali gus menambah beban perbelanjaan mereka.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya rangkaian Bas Pink yang kini beroperasi di Kota Kinabalu diperluas ke koridor Tuaran–Telipok–Menggatal–Kota Kinabalu, termasuk menyediakan perkhidmatan bas pengantara dari Tamparuli mengikut keperluan dan kesesuaian jalan.

“Kita menghargai BAS.MY di Kota Kinabalu. Kita mahu rangkaian berjadual ini diperluas ke koridor Tuaran–Telipok–Menggatal–Kota Kinabalu,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pengangkutan di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurutnya, peluasan perkhidmatan Bas Pink bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk dari Tuaran dan Tamparuli ke Kota Kinabalu, malah berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan seterusnya membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan.

Beliau berkata, penyediaan perkhidmatan bas yang cekap, teratur dan mempunyai jadual perjalanan yang konsisten boleh menggalakkan lebih ramai penduduk menggunakan pengangkutan awam, sekali gus menjadikan pergerakan harian masyarakat lebih mudah dan lancar.

Madius turut meminta kementerian melibatkan pengusaha pengangkutan tempatan serta menyelaraskan jadual perjalanan bas dengan waktu bekerja dan persekolahan bagi memastikan perkhidmatan tersebut memenuhi keperluan masyarakat.

Beliau meminta Menteri Pengangkutan memberikan komitmen supaya peluasan perkhidmatan berkenaan dapat dimulakan pada 2027, dengan menetapkan laluan, kekerapan perjalanan dan tarikh operasi.

“Bolehkah Menteri memberikan komitmen peluasan ini bermula pada 2027, dengan menyatakan laluan, kekerapan dan tarikh operasinya? Rakyat mahu tahu bila bas datang dan bila mereka boleh sampai,” katanya.

Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Tamparuli berkata, kemudahan pengangkutan awam yang mempunyai jadual tetap bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membantu mereka merancang perbelanjaan dan menguruskan urusan harian dengan lebih baik.

Beliau yang juga Presiden Kehormat UPKO Malaysia berkata, penyediaan pengangkutan awam yang lebih tersusun perlu mengambil kira keperluan penduduk di kawasan pinggir bandar supaya manfaat pembangunan pengangkutan dapat dinikmati dengan lebih meluas.