KOTA KINABALU: Politik kebencian dan diskriminasi agama tidak mempunyai tempat di Sabah yang sekian lama hidup dalam suasana harmoni meskipun masyarakatnya berbeza agama, kaum dan budaya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ir. Mustapha Sakmud, berkata demikian ketika mengecam kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam ucapannya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ketika berucap di Pentas Grand Finale Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri Melaka, yang mendakwa bahawa sejahat-jahat orang Islam memerintah negara tidak sezalim orang bukan Islam.
“Kenyataan ini amat melampau, melangkaui batas dan tidak boleh diterima walau dalam apa jua konteks sekalipun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata, kenyataan itu menyinggung perasaan penganut agama lain dan boleh memecahbelahkan masyarakat majmuk di Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak yang sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati.
“Di Sabah, tidak ada tempat untuk politik yang mendiskriminasi penganut agama lain. Perbezaan agama bukan penghalang kepada hubungan kekeluargaan, persahabatan dan kehidupan bermasyarakat.
“Malah, dalam satu keluarga sendiri ada ahli yang menganut agama berbeza, namun tetap hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” katanya.
Beliau berkata, Islam mengajar umatnya berlaku adil kepada semua manusia tanpa mengira agama. Menurutnya, perbuatan dan integriti menjadi ukuran sama ada seseorang pemimpin berlaku adil atau zalim.
Mustapha turut menggesa Abdul Hadi supaya lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan prasangka dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
Beliau menyeru rakyat Sabah dan seluruh Malaysia, khususnya warga Melaka, supaya berwaspada dan menolak parti politik yang menyeru kepada kebencian terhadap penganut agama lain.