Lelaki berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup kesalahan mengedar syabu

TAWAU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 50.30 gram, awal bulan ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Sahar Sappe, 30, selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Tawau Mohd Afiz Huzairi Ayob yang bertindak sebagai Majistret kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 50.30 gram di tepi jalan ladang sawit Kampung Iban Serudung Baru, di sini, kira-kira jam 11.30 malam pada 5 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia sebelum prosiding dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.