KOTA MARUDU: Dua rumah di Taman T&G, di sini, dipecah masuk dalam dua kejadian berasingan awal pagi Rabu lepas, mengakibatkan kehilangan barang kemas, dua konsol permainan Sony PlayStation 5 (PS5) serta sebuah Toyota Alphard.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 3.14 pagi, lima lelaki dipercayai menceroboh sebuah rumah sebelum melarikan barang kemas dan sebuah konsol permainan PS5.
Suspek kemudian melarikan diri menggunakan Toyota Alphard milik penghuni rumah berkenaan kira-kira jam 3.44 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.28 pagi hari sama.
Beliau berkata, hasil hebahan kepada orang awam, kenderaan yang dicuri berjaya ditemukan semula di tepi Jalan Goshen, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari pada hari kejadian.
Katanya, satu lagi kejadian pecah rumah turut berlaku di taman perumahan sama kira-kira jam 3.40 pagi.
Dalam kejadian itu, menurutnya, empat lelaki dipercayai memasuki sebuah lagi rumah untuk melakukan kegiatan mencuri, namun melarikan diri selepas perbuatan mereka disedari penghuni.
“Suspek sempat membawa lari sebuah konsol permainan PS5 dari rumah berkenaan,” katanya
Simiun berkata, laporan kedua berhubung kejadian itu diterima semalam kira-kira jam 1.32 petang.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bersama pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sudah menjalankan siasatan di kedua-dua lokasi kejadian.
“Usaha mengesan semua suspek yang terbabit kini giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379A serta Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Romio Wong menerusi talian 019-0196851343 atau Bilik Gerakan IPD Kota Marudu di talian 019-2183708,” katanya
Simiun turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan siasatan.