Armizan gesa PAC siasat kesan penamatan PDP terhadap kelewatan Pan Borneo Sabah

PAPAR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa meneliti secara menyeluruh punca kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, termasuk keputusan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi Fasa 1A pada 22 September 2019.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, skop siasatan PAC perlu diperluaskan bagi merangkumi asas keputusan penamatan model berkenaan serta kesannya terhadap kelancaran pelaksanaan projek.

Menurutnya, penelitian itu penting bagi menjelaskan faktor kelewatan projek, khususnya Pan Borneo Fasa 1A dan Fasa 1B, susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2 Tahun 2026.

Beliau berkata, laporan berkenaan tidak memberikan penjelasan terperinci mengenai isu penamatan model PDP bagi Fasa 1A, sedangkan perkara itu perlu diteliti kerana pernah dibangkitkan dalam jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKRM) di Dewan Rakyat.

Katanya, jawapan rasmi kementerian pada 2 Ogos 2022 dan 19 Oktober 2026 menyatakan penamatan model PDP sebagai antara faktor utama kelewatan pelaksanaan projek Pan Borneo Fasa 1A.

“Rakyat juga perlu mengetahui asas keputusan Kerajaan Persekutuan pada 2019, dengan syor Kerajaan Negeri Sabah, untuk menamatkan model pelaksanaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Armizan berkata, pertukaran kerajaan pada Mei 2018 turut mencetuskan ketidaktentuan berhubung status PDP dan kontraktor sehingga menjejaskan kelancaran kerja di tapak projek.

Katanya, pelaksanaan projek-projek sedia ada dalam Fasa 1A terbantut lebih setahun sebelum kontraktor sedia ada dilantik semula menerusi peralihan daripada model PDP kepada kaedah konvensional pada 2019.

“Tempoh kelewatan itu turut memberi kesan kepada kos pelaksanaan berikutan peningkatan harga bahan binaan dan kos berkaitan sebelum kerja disambung semula, selain cabaran pandemik COVID-19,” katanya.

Sehubungan itu, Armizan menegaskan siasatan PAC juga perlu merangkumi proses pelantikan semula kontraktor, termasuk beberapa pakej kerja yang hanya dilantik semula pada 2021.

Katanya, kontraktor yang terkesan wajar dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung gangguan kerja, tempahan bahan binaan, peningkatan kos serta cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh peralihan model pelaksanaan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyerahkan memorandum rasmi kepada PAC minggu depan bagi memohon supaya skop siasatan diperluaskan.

“Memorandum itu bertujuan membantu PAC menetapkan parameter dan skop siasatan yang lebih jelas bagi menjawab persoalan berbangkit mengenai pelaksanaan projek berkenaan,” katanya.

Mengulas kemajuan projek, Armizan berkata, prestasi Pan Borneo Fasa 1A difahamkan sudah menghampiri 90 peratus, manakala Fasa 1B mencatatkan kemajuan sekitar 30 peratus.

Beliau berkata, kedua-dua fasa mempunyai pakej kerja dan tempoh pelaksanaan berbeza, justeru penilaian kemajuan perlu mengambil kira perbezaan tersebut.

Katanya, beberapa isu pelaksanaan termasuk masalah kontraktor, pengambilan tanah dan utiliti turut memerlukan penyelesaian menerusi kerjasama semua pihak berkaitan.

Beliau menegaskan penelitian menyeluruh terhadap pelaksanaan projek itu penting bagi memastikan setiap keputusan dasar pada masa hadapan tidak menjejaskan kelancaran projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat.