Sarawak tamatkan PDP, Pan Borneo tetap diteruskan, mengapa Sabah tidak? Warisan perlu jawab – Azrul

KOTA KINABALU: Kerajaan Warisan perlu menjelaskan mengapa pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah tidak diteruskan selepas kaedah Rakan Pelaksana Projek (PDP) ditamatkan, sedangkan Sarawak mampu meneruskan projek berkenaan meskipun mengambil keputusan sama.

Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim, berkata perbezaan pelaksanaan projek di kedua-dua negeri itu menimbulkan persoalan mengenai keputusan dibuat ketika pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui mengapa Sabah tidak meneruskan projek berkenaan seperti dilakukan Sarawak selepas penamatan kaedah PDP.

“Kenapa Sarawak boleh meneruskan Pan Borneo mereka, sedangkan kedua-duanya menamatkan kaedah PDP, tetapi Sabah tidak?

“Persoalan itu perlu dikembalikan kepada pihak berkenaan untuk memberikan penjelasan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Pemuda Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC), di sini, hari ini.

Azrul berkata, perkembangan semasa projek berkenaan perlu dinilai secara menyeluruh dan adil, khususnya kemajuan pelaksanaan 16 pakej Fasa 1B yang dilaporkan mendahului jadual sejak dimulakan pada 2024.

Katanya, perkembangan itu membuktikan usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meneruskan projek berkenaan selepas kaedah PDP ditamatkan dan digantikan dengan kaedah konvensional.

“Fasa 1A sudah dilaksanakan lebih awal, manakala Fasa 1B membabitkan 16 pakej yang sebahagian besarnya menunjukkan kemajuan lebih awal daripada jadual ditetapkan.

“Jika terdapat isu kelewatan dalam pelaksanaan projek, penilaian perlu dibuat secara adil dengan mengambil kira perkembangan serta usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap semua kontraktor terbabit memastikan kerja pembinaan berjalan mengikut jadual bagi mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan manfaat projek kepada rakyat.

Beliau berkata, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus membawa suara rakyat kepada kerajaan, khususnya berkaitan keperluan memastikan kemudahan jalan raya di Sabah berada dalam keadaan selamat dan efisien.

Katanya, Lebuhraya Pan Borneo amat penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur negeri, selain meningkatkan hubungan antara kawasan serta keselesaan pengguna jalan raya.

“Hasrat kita adalah untuk memastikan jalan raya di Sabah berada dalam keadaan selamat dan efisien. Itu juga hasrat rakyat yang mahu melihat projek ini disiapkan dengan baik,” katanya.