KENINGAU: Seorang lelaki berusia 64 tahun maut selepas kereta jenis Proton Persona yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Basanon, Bukit Kimanis-Keningau, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam, mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan peralatan menyelamat.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, PKPgB Nelson Ponji berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 7.55 malam sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.12 malam dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Persona dengan sebuah lori 10 tan.
“Operasi menyelamat melibatkan penggunaan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Rapid Response Vehicle (RRV),” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, pemandu lori berusia 35 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.18 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.