Sudah berpuluh tahun diberi peluang, kerajaan tetap teruskan perobohan setinggan – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan meneruskan perancangan merobohkan penempatan setinggan yang didirikan di kawasan larangan, termasuk di kawasan peranginan berhampiran pulau, selaras dengan proses undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, tindakan itu bukan bermakna kerajaan tidak prihatin terhadap nasib penduduk, sebaliknya penempatan berkenaan didirikan di kawasan larangan yang tidak dibenarkan untuk pembinaan rumah.

“Kita mesti tahu bahawa kawasan itu adalah kawasan yang dilarang untuk kita mendirikan rumah.

“Ia kawasan setinggan dan kerajaan telah membuat keputusan mana-mana kampung setinggan mesti kita pindahkan atau robohkan. Itu adalah perancangan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam YAB Ketua Menteri Bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah (PPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam Ahad.

Tambah beliau, penduduk yang menetap di kawasan berkenaan, sama ada berasal dari sekitar Kota Kinabalu mahupun luar daerah, perlu memahami bahawa tindakan kerajaan berlandaskan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“Kita prihatin terhadap rakyat kita, tetapi kita perlu mengikut proses undang-undang dan peraturan kerana ia merupakan kawasan setinggan.

“Kalau kerajaan sudah bersedia untuk merobohkan, kita kena faham. Mereka sudah berada di sana bertahun-tahun, malah berpuluh tahun,” katanya.

Katanya, setiap kali tindakan perobohan dilaksanakan, pasti ada alasan dan pelbagai tuduhan dilemparkan sehingga menimbulkan tanggapan seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap nasib penduduk.

“Ini dari dulu lagi. Tetapi, setiap kali kita merobohkan, ada saja alasan.

“Ada saja macam-macam tuduhan. Seolah-olah kerajaan tidak prihatin,” tambah beliau.

Terdahulu, pihak berkuasa tempatan mengeluarkan notis bertarikh 16 November lalu yang mengarahkan penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya mengosongkan kediaman dan struktur yang terlibat dalam tempoh 14 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 30 November ini.

Bagaimanapun, penduduk merayu supaya tindakan perobohan ditangguhkan dan memohon agar kerajaan negeri menyediakan lot tanah atau rumah untuk mereka berpindah.