Sukan, pelancongan pacu ekonomi Tenom

TENOM: Daerah Tenom perlu menarik lebih ramai pengunjung dari luar melalui penganjuran acara sukan, rekreasi dan pelancongan bagi merancakkan ekonomi tempatan, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, berkata dengan populasi sekitar 58,000 orang, Tenom perlu memperluaskan daya tarikannya kepada pengunjung luar supaya aktiviti ekonomi, khususnya jualan perniagaan, dapat berkembang.

“Untuk mencapai impian ekonomi yang lebih tinggi, kita kena ambil orang luar datang ke Tenom.

“Bagaimana kita cari untuk orang datang ke Tenom? Antaranya melalui aktiviti pelancongan, sukan dan rekreasi, acara-acara lain serta usaha membuka kampus universiti di kawasan Tenom,” katanya ketika berucap pada Majlis Cabutan Tiket Bertuah 10 Hadiah Utama sempena Kejohanan Bola Tampar Terbuka Lelaki dan Wanita Daerah Tenom 2026 anjuran Kelab Rekreasi dan Kebajikan Kompleks Sukan Tenom (KRKKST) serta Karnival Sukan Tangan Keramat anjuran Kelab Belia Aktif Kampung Saga Ulu (KBAKSU), di hadapan Mural Tenom, di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha merancakkan pelancongan telah dimulakan dengan perancangan melancarkan Tahun Melawat Tenom 2027 pada Januari depan.

Katanya, pelbagai acara sukan dan rekreasi telah dianjurkan sepanjang tahun ini, dengan sekitar lapan hingga sembilan program dilaksanakan, termasuk aktiviti motocross yang menarik penyertaan ramai ke kawasan Melalap.

Tenom juga bakal menganjurkan pertandingan Tarian Singa peringkat kebangsaan pada 4 hingga 6 Disember ini di Dewan Chung Hwa, yang dijangka menarik peserta dari Kota Kinabalu, Labuan, Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Selain itu, Jamawi berkata beliau turut merancang pembangunan kampus universiti di Tenom dengan menyediakan kira-kira 100 ekar tanah di Lagud Seberang di bawah Jabatan Pertanian Sabah untuk dipertimbangkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, kampus berkenaan berpotensi menawarkan program berkaitan pertanian, termasuk peringkat sijil atau diploma, memandangkan daerah itu mempunyai pelbagai aktiviti pertanian.

“Kalau UMS buat kampus, sama ada sijil ataupun diploma pertanian, memang sesuai untuk daerah kita yang banyak aktiviti pertanian.

“Anak-anak kita tidak perlu lagi pergi ke Kota Kinabalu atau Semenanjung untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya orang dari Kota Kinabalu dan Semenanjung boleh datang ke Tenom,” katanya.

Jamawi berkata beliau berharap dapat meninggalkan sesuatu yang bermakna kepada masyarakat Tenom dan Melalap sepanjang tempoh lima tahun sebagai wakil rakyat.

Beliau turut memberi komitmen untuk menyokong sepenuhnya penganjuran program sukan, rekreasi dan aktiviti komuniti oleh pelbagai persatuan serta organisasi di daerah itu bagi membantu merancakkan ekonomi tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata tanggungjawabnya sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan turut merangkumi memastikan bekalan makanan yang dibawa masuk ke Sabah memenuhi aspek kebersihan, keselamatan dan status halal.

Katanya, beliau melakukan lawatan ke beberapa negara pembekal bagi memeriksa dan memastikan produk makanan yang diimport, termasuk daging lembu, kambing dan ayam, memenuhi piawaian keselamatan serta kesihatan.

Jamawi juga memberikan penghargaan kepada Pengerusi Kelab Rekreasi dan Kebajikan, Kompleks Sukan Tenom (KRKKST) Maniah Runggi @ Lidwina dan Pengerusi Kelab Belia Aktif Kampung Saga Ulu (KBAKSU) Shah Rezza Balaludin.

Dalam program berlainan, Jamawi mengadakan beberapa siri lawatan antaranya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pulong, SK Melalap dan membuat pemantauan progress pembaikan Dewan Datuk OKK Sanggau Jalang.

Hadir sama dalam program itu ialah Pemimpn Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Densely Justin dan Kapitan Cina.